Alhamdulillah dengan anugerah masa yang ada ini terasa ingin berkongsi sesuatu. Walaupun berita ini gembira untuk ku, tapi harap yang sudi berkongsi sahaja membacanya. Apapun jauh disudut hati untuk menunjuk-nunjuk. Takut diri jadi riak, ujub dan sombong. Harap-harap ia lebih memotivasikan diri ini dan sesiapa yang terbacanya.
Hampir setahun lebih duduk di rumah melengkapkan status suri rumah sepenuh masa. Kini genap pada tarikh 21 September 2011, saya mula melapor diri sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Nong Chik di Johor Bahru. Syukur berkat kesabaran dan dugaan yang datang silih berganti akhirnya Allah memberi kesempatan untuk diri ini melengkapkan cerita hidup. Walaupun kita tak tahu apa pula kesudahan kepada cerita hidup ini seterusnya.
Pertamanya memanjatkan kesyukuran dengan nasihat seorang sahabat alhamdulillah telah saya tunaikan. Katanya "jangan lupa panjatkan rasa syukur pada Allah yang memberi rezki dan izin, sujud syukur kepada yang maha esa". Peringatan untuk diri saya alhamdulillah.
Mungkin berkat kesabaran ini Allah memudahkan segala urusan kita. Saya percaya kesabaran sebagai kunci untuk kita, bila mana menghadapi dugaan hidup. Dugaan itu pula sebagai ujian kepada tahap keimanan insan.
Pertama, memanjatkan kesyukuran pada rezki pekerjaan yang diberinya. Kedua, kesyukuran kepada cahaya mata yang bakal dianugerahkannya. Terasa terharu bila Allah memberikan kita rezeki yang tak pernah kita gambarkan. Benar kata orang alim ulamak, rezeki Allah tidak boleh dipertikaikan. Banyak mana diberi. kejap atau lambat semua itu urusannya. Sebagai manusia selaku insan kita perlu bersyukur atas rezki yang dianugerahkan. Walaupun sedikit walaupun banyak. Syukur jika sedikit, mengingatkan kita pada usaha yang berterusan dan menaikkan martabat kesabaran. Tetapi jika banyak, sentiasa beringat pada yang masih memerlukan dan ia merupakan ujian kepada keimanan juga.
Banyak mana bilangan anak itu tidak penting. yang penting ialah sejauh mana kita sanggup memikul amanah Allah. Melaksanakan tanggugjawab mendidik dan mengasuh anak-anak supaya menjadi insan takwa.
Sering juga termenung andai diri ini tak mampu memikul tanggugjawab nanti bagaimana jadinya. Harapan semoga rezeki Allah ini adalah yang terbaik untuk diri ku, keluarga, dan masyarakat sekeliling. Bukan untuk ditunjuk-tunjuk sebaliknya peringatan. Insyallah sebaik-baik kurnia Allah itu adalah yang terbaik dan mampu ditanggung oleh hambanya. amin.
Semoga segala urusan ku dipermudahkan. Menjadi ibu kepada anak-anak ku dan bakal anak ku nanti juga pendidik kepada murid-murid ku. Syukur doa ku termakbul. Mahukan sekolah yang persekitarannya lebih Islami, murid-murid yang baik-baik dan sopan juga suasana rakan kerja yang harmoni. Yang paling penting perjalanan ku setiap pagi diiringi dengan pemandangan yang indah di tepi pantai Lido di susur Danga Bay. Terasa pagi lebih bersemangat dan damai. Bila sampai di pantai pasti cermin tingkap kereta ku turunkan untuk menikmati suasana pagi yang tenang.
Walaupun kini jadual harian ku terpaksa di rombak, harap-harap ianya lebih teratur bila melepasi tri-semester pertama nanti. Insyallah. Harap suami lebih memahami.
Sekali lagi ingin ku tegaskan, berita dan cerita ini bukan untuk digembar gemburkan. Ia semata-mata memanjatkan rasa syukur ku pada Allah. Harapan kepada sesiapa yang membaca sering kita melihat kepada kesusahan orang lain, supaya kita sering rasa bersyukur pada apa yang Allah anugerahkan pada kita. Sebaiknya melihat pada kemewahan orang lain hanya akan menampakkan diri kita serba kekurangan dan tak pernah rasa kecukupan.
Ambil yang baik-baik sahaja. Terbaik dari Allah. Kurang lebih kelemahan saya.
No comments:
Post a Comment
wa kha kha...:)