"Menurut Sheikh Manna’ Qattan dalam bukunya Mabahith fi ‘Ulum al-Quran, proses penurunan al-Quran berlaku dalam dua peringkat. Peringkat pertama ia diturunkan daripada luh mahfuz ke langit dunia secara sekali gus. Peringkat kedua pula diturunkan daripada langit dunia kepada Nabi s.a.w secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril as. al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur ini mengambil masa selama hampir 23 tahun.
Ayat pertama diturunkan ialah ayat 1-5 daripada Surah al-‘Alaq yang diturunkan pada 17 Ramadan tahun 610 Masihi di Gua Hira’. Ayat terakhir ialah ayat 281 surah al-Baqarah yang diturunkan sembilan malam sebelum kewafatan Rasulullah.
Penurunan al-Quran sebenarnya telah memberikan sejuta rahmat kepada manusia. Imam ar-Razi dalam kitab tafsirnya menjelaskan, bahawa al-Quran itu adalah penawar kepada penyakit rohani dan jasmani.
Namun yang menyedihkan, terdapat ramai yang masih tidak menghargai al-Quran dan masih terdapat mereka yang memandangnya sebagai sesuatu yang tidak bernilai. Kalaulah diberi pilihan antara wang ringgit dengan al-Quran, rasanya ramai yang memilih wang daripada al-Quran. Kalau pun ada yang mengatakan bahawa ia memilih al-Quran, mungkin ia ibarat menanam tebu di bibir mulut tetapi hakikatnya adalah yang sebaliknya.
Sehubungan itu, kita wajar bermuhasabah adakah kita benar-benar menghayati kepentingan al-Quran dalam kehidupan kita atau sebaliknya?. Masyarakat Islam hari ini masih ketinggalan jauh daripada menghayati isi kandungan al-Quran dengan sebenar-benarnya.
Justeru, kita dapati al-Quran hanya akan berkumandang apabila berlakunya kematian, atau ia hanya akan dialunkan pada pembukaan majlis-majlis tertentu sahaja. Selepas itu, al-Quran kembali ditinggalkan. Inilah fenomena yang sepatutnya diubati agar ia tidak berterusan. Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan.
Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan. Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran menyenaraikan beberapa tujuan utama al-Quran itu diturunkan. Antaranya ialah:
1. Untuk mendapat hidayah daripada Allah.
2. Untuk mewujudkan peribadi muslim yang unggul dan seimbang.
3. Mewujudkan masyarakat Islam tulen.
4. Sebagai senjata dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha untuk menghancurkan Islam.
Untuk melihat bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi dan kandungan al-Quran tersebut perlulah, ada pada diri kita beberapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu ialah:
1. Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafalnya. Dengan membaca al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan membaca al-Quran itu juga, kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah, sebagaimana maksud sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.
2. Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan tartil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid.
3. Hendaklah kita sentiasa meneliti, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran. (Muhammad: 24)
untuk maklumat lanjut klik di sini TranungKite Online
No comments:
Post a Comment
wa kha kha...:)